Sudah kah anda Berselawat hari ini?
Makna perkataan: “Selawat”. Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.
Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat
malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang
mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat,
menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi
Muhammad SAW.
Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya
adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan
daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang
mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan
hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya),
sebagaimana dalam firman-Nya:
“Dialah yang berselawat kepadamu
(wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu),
supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang
terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”.
(Surah al-Ahzab: ayat 43).
Hukum berselawat
Para
ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad
SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat
(ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya.
Antaranya:
1. Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3. Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW,
ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Arahan Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya
beribadat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri
memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan
kepada Muslimin mengamalkannya. Hal ini bermakna membaca selawat itu
sangat utama.
Kelebihan Selawat
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan
berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan
(dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga
kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang
muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang
mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.
Selawat Paling Afdhal
Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan merupakan
salah satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW sekaligus menjadi faktor
utama untuk mencapai syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak. Perintah
kepada umat Islam untuk membaca selawat untuk Nabi SAW datang setelah
Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia berselawat kepada Nabi Muhammad SAW
sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah dan para
malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW).
Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta
ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56).
Ayat di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk
dibaca apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi
Muhammad SAW.
Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang
menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya
Rasulullah SAW cara atau kaifiyat untuk berselawat ke atas Baginda SAW,
maka diajarnya kepada mereka.
Antaranya ialah riwayat dalam
Sahih al-Bukhari no. 2497 daripada Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang
mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi
SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.
Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah: (*rujuk laman web asal)
Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para
sahabat RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara
berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini
sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.
Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
“Yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah
(dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi
petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda
SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling
sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].
Menurut Kitab Mestika Hadis
1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca
selepas tasyahud akhir setiap solat. Hal ini kerana para ulama telah
menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat
kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum
terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan
dengan membaca selawat itu.”
Maka adalah lebih baik apabila
lafaz selawat ini yang diamalkan dalam membaca selawat untuk Nabi SAW,
bukan lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun bukan larangan
untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri. Selawat-selawat selain yang
diajarkan oleh Nabi SAW kadang-kadang tidak terlepas daripada
kekeliruan, baik dalam pemilihan bahasa, mahupun –dan ini yang paling
parah– kesalahan dalam akidah.
Lafaz Selawat yang sahih
Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih] (*Lihat web asal)
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:
1. Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad
sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim,
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah,
Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah
memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha
Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]
2. Dari Abu Humaid As Saa’diy RA:
“Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri
beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada
keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri beliau
dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan
Muslim].
3. Dari Abi Mas’ud Al-Ansori RA:
“Ya Allah
berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana
Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah
Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati
keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji
(lagi) Maha Mulia.” [HR Muslim]
4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (jalan kedua):
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada
keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada
Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi
sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no.
981, sahih]
5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA:
“Ya Allah
berilah selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana
Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad
dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.”
[HR Bukhari]
6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW:
“Ya
Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya
(keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau
telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha
Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli
baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah
memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi)
Maha Mulia.” [HR Ahmad, sahih].
7. Dari Abu Hurairah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan
berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah
berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya
Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam "Musykil
al-Athar" 3/75, An Nasa-i dalam "Amalul Yaum wal Lailah" no 47. Sahih]
8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad,
sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau
Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga
Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad,
sahih].
Waktu Afdhal Berselawat
•Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
•Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
•Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
•Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
•Di akhir qunut dalam solat.
•Di dalam solat jenazah.
•Ketika masuk dan keluar dari masjid.
•Setiap waktu pagi dan petang.
•Hari Khamis malam Jumaat.
•Sepanjang hari Jumaat.
•Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.
Demikianlah perbincangan ringkas tentang lafaz selawat ke atas Nabi
Muhammad SAW yang dapat dikumpulkan, berdasarkan riwayat-riwayat yang
sahih. Sebagai panduan untuk beramal dengan Sunnah dan selawat yang
mempunyai kekuatan sanad yang benar dan sahih daripada Nabi SAW.
IF YOU CARE, DON'T FORGET TO SHARE...
ADS
My Blog List
Wednesday, 15 October 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
1) Doa dari para Malaikat. 2) Doa dari para Nabi dan Rasul. 3) Doa dari raja, pemerintah atau pemimpin yang adil. 4) Doa dari orang ...
-
Kata Kata Cinta - Kata kata cinta memag terdengar begitu indah, apalagi jika kita menyampaikannya dalam suasana yang sangat romantis, hm...
-
Walhal pada hakikatnya kita hanya mahu menjadi insan yang bertaqwa tanpa sifat takbur, riak, sombong, kedekut, kikir, hasad dan lain l...
-
Di bawah ini kami senaraikan tafsir mimpi mengikut peristiwa yang dimimpikan. Senarai tafsir mimpi ini tidak semestinya betul dan tepat,...
-
Kerapkali pengalaman-pengalaman berharga di dalam hidup kita layak untuk dituliskan menjadi sebuah karya. Salah satunya adalah dengan menja...
No comments:
Post a Comment